Friday, October 7, 2011

Di Gantung Tak bertali

Pada awalnya, Z (bukan nama sebenar), 29, menjadi orang tengah dalam hubungan percintaan rakan karibnya dengan suami, H (bukan nama sebenar). Namum, dek kekerapan berhubung menyebabkan terbit bibit cinta antara mereka berdua.

"Bukan aku cuba mengkhianati kawan baik sendiri tapi mungkin sudah takdir Allah, jodoh saya dengan dia. Walaupun singkat, namun itu ketentuan yang pahit harus aku hadapi," katanya membuka cerita.

Perkenalan bermula ketika Zuraini di Tingkatan Dua, tapi hubungan antara mereka menjadi semakin serius apabila Zuraini memulakan pengajian di peringkat matrikulasi.

"Di awal percintaan, tiada masalah yang timbul cuma dia bukan lulusan universiti dan hanya bekerja biasa menyebabkan wujud tentangan daripada keluarga terutama kedua ibu bapa saya.

"Bukan tidak pernah cuba meninggalkan dia tapi rasa sayang mengatasi segala sehingga menyebabkan saya mencuba pelbagai cara untuk meyakinkan ibu bahawa dia pilihan terbaik," katanya.

Pernah hubungan putus seketika tapi apabila Zuraini memulakan kerjaya sebagai pendidik di ibu kota, hubungan mereka kembali terjalin.

Pujukan demi pujukan akhirnya menyebabkan hati ibu Zuraini lembut dan akhirnya dengan restu ibu bapa, kedua mereka bernikah pada Disember 2007.

"Di awal perkahwinan, segala-galanya indah belaka. Hidup kami bahagia malah suami juga melayan saya seperti seorang puteri," katanya tersenyum pahit.

Bagaimanapun, suatu hari, pergaduhan besar meletus apabila suami mengetahui Zuraini menjadi penjamin pinjaman kereta kakaknya secara diam- diam.

"Saya pernah minta izin dia untuk jadi penjamin kakak tapi dia tidak benarkan. Cuma saya sendiri tidak sampai hati hendak menolak permintaan kakak kerana dia selalu menghulurkan wang belanja untuk saya sewaktu belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dulu.

"Pergaduhan berlarutan dan tidak pernah berakhir, semua gara-gara sikap suami yang seolah-olah tidak dapat menerima takdir, kerjaya saya lebih baik daripadanya. Malah, segi gaji juga terlalu jauh perbezaan," katanya.

Di dalam pahit mengharungi kehidupan berumah tangga dengan seorang suami yang tidak matang, Zuraini hamil anak pertama dan ketika sedang berpantang, suami mengirim kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) menceraikannya.

"Suami bagaimana sanggup menceraikan isteri ketika masih di dalam pantang? Bagaimanapun, tidak sampai sebulan, dia ingin rujuk kembali kerana menyesal.

"Memikirkan anak yang masih kecil, saya bersetuju rujuk kembali tapi malang nasib saya kerana tidak sampai setahun, dia berubah menjadi lelaki panas baran malah pandai pula main perempuan," katanya.

Menderita hidup bersuamikan lelaki tidak matang, panas baran malah pernah kerana isu remeh, suaminya bertindak mengejarnya di dalam rumah dengan pisau di tangan.

"Semuanya kerana tindakan saya membawa diri untuk menenangkan fikiran selepas mendapat tahu kecurangannya tapi memikirkan dia masih suami, saya keluar dengan izinnya. Isu bertambah serius apabila suami mendapat tahu saya meninggalkan anak di Tanjung Karang.

"Saya berbuat begitu kerana tidak mahu anak melihat kami selalu bergaduh tapi amarahnya menggila sehingga dia sanggup bertindak mengejar saya dengan pisau," katanya sebal.

Mujur Zuraini sempat berlari keluar menyelamatkan diri tapi suami seperti hilang akal, menelefon dan mengugutnya kembali ke rumah atau diceraikan buat kali kedua.

Pernah juga dia dipukul kerana suami cemburu melihatnya membeli barangan rumah. Habis dirosakkan barangan itu dan seluruh dinding rumah juga turut diconteng dengan kata cacian.

Penderitaan begitu menekan perasaannya. Fizikal dan mental sama-sama terdera lantas selepas berfikir sedalam-dalamnya, Zuraini meminta pendapat keluarga sebelum memohon fasakh.

Kes fasakh Zuraini sekarang sedang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dan masih belum selesai kerana Hafizudin berkeras tidak mahu melepaskannya manakala hak penjagaan anak sedang diusahakan Zuraini.

"Aku terlalu inginkan bahagia tapi bukan dengannya. Di dalam hidup aku kini, hanya ada anak dan keluarga. Aku mohon pada Hafizudin, pulangkan hatiku kembali," katanya dengan aliran air mata. Apa kata pakar?

Pertahan hak ikut syariah

ANTARA isu yang timbul dalam kes minggu ini adalah membabitkan sikap panas baran suami yang mendera isteri secara mental dan fizikal.

Mengikut Seksyen Empat Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, mahkamah boleh mengeluarkan perintah yang menghalang suami atau orang lain daripada menggunakan keganasan rumah tangga terhadap isteri dan anak-anak.

Dalam kes ini isteri boleh membuat laporan polis dan kemudian memohon perintah perlindungan interim daripada mahkamah bagi melindungi dan menjaga keselamatan diri isteri dan anak daripada keganasan atau penderaan yang berlaku.

Selain itu, sikap suami yang menceraikan isteri menerusi SMS adalah perbuatan tidak beradab dan tidak boleh dicontohi. Urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu perkara penting dalam Islam. Jika pada awal perkahwinan dulu isteri dinikahi dengan cara baik dan terhormat, begitulah yang harus dilakukan untuk mengakhiri perkahwinan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum cerai menerusi SMS. Fatwa yang diputuskan adalah, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faks, SMS, e-mel dan sebagainya adalah talak berbentuk kinayah dan sah jika disertai dengan niat.

Namun, haruslah diajukan kepada pihak berwajib iaitu mahkamah syariah untuk mensabitkan perceraian berkenaan.

Mengenai tuntutan fasakh Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Zuraini harus membuktikan tuntutan perceraian itu jatuh di bawah salah satu kriteria dalam Seksyen 52.

Dalam hal ini, perbuatan suami yang mendera secara fizikal dan mental seperti mengejar dengan pisau, menggugut, merosakkan barangan dan menconteng rumah adalah dapat dilihat sebagai penganiayaan terhadap isteri berdasarkan peruntukan dalam seksyen ini.

Zuraini diharap tidak risau dan cuba membuktikan tuntutan dan dakwaan yang dilakukan sehabis baik di mahkamah, sehingga ke tahap yakin. Kuat atau tidak tuntutan cerai itu terletak pada cara pembuktian dari pihak yang menuntut perceraian.

Menurut perundangan Islam, beban pembuktian adalah ditanggung oleh pihak yang mendakwa (menuntut). Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud `keterangan (pembuktian) di atas pihak yang mendakwa dan sumpah (penafian) ke atas yang ingkar'.

Sehubungan itu, Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1984 memberi perhatian penuh kepada pihak isteri untuk menjaga kebajikan dan keselamatan isteri. Mahkamah mempunyai kuasa untuk menahan suami atau bekas suami daripada mengganggu atau menceroboh bekas isterinya ketika perbicaraan hal ehwal suami isteri yang masih belum selesai.

Sekiranya perintah ini tidak dipatuhi seseorang itu boleh dijatuhi hukuman kerana menghina mahkamah. Mengenai tuntutan selepas perkahwinan terutama berkenaan anak (hadhanah), Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor menetapkan ibu adalah orang yang paling layak menjadi penjaga bagi anak kecilnya.

No comments:

Post a Comment

KUMPULAN DONGENG BAHASA INDONESIA TERBARU

Asal Mula Rumah Siput Dahulu kala, siput tidak membawa rumahnya kemana-mana… Pertama kali siput tinggal di sarang burung yang sudah di...